Kanak-kanak merupakan generasi yang akan mendokong wawasan negara. Pemupukan tumbesaran kanak-kanak dalam suasana yang positif dan sihat amat penting demi menjamin masa depan mereka di dalam dunia yang penuh dengan cabaran serta kecanggihan multimedia ini.
Masa kini, kanak-kanak dikelilingi dengan kemajuan teknologi maklumat, di mana-mana sahaja kita dapat melihat kecanggihan dan kemajuan teknologi. Kanak-kanak walau dalam usia setahun jagung adalah terpengaruh dengan alat-alat yang moden seperti t.v., video games, komputer dan sebagainya. Semua ini boleh mendatangkan kesan sampingan yang negatif ke atas pertumbuhan akhlak kanak-kanak yang sedang membesar.
Di sinilah pentingya peranan ibu bapa dan penjaga. Kita perlu menggunakan kemudahan IT untuk memupuk minda dan kemahiran kanak-kanak ke arah pembinaan nilai-nilai diri yang murni dan mulia.
Seperti yang disarankan melalui kursus ini, kanak-kanak yang membesar dengan tubuh badan yang cergas sudah pasti menghasilkan minda yang pintar dan cerdas. Di sini ternyata sistem pemakanan memainkan peranan yang penting. Walaupun kini terdapat pelbagai jenis makanan ringan yang tidak berkhasiat, ibu bapa dan penjaga yang prihatin sudah tentu tahu membezakan makanan yang sesuai untuk diberikan kepada anak-anak di bawah jagaan mereka. Sistem pemakanan seimbang seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan tidak patut dipandang remeh. Ianya bukan sahaja baik untuk tumbesaran kanak-kanak, tetapi juga berkena dari segi kemampuan daya intelek untuk menghadapi pembelajaran di sekolah.
|