Aduan kepada KPDNHEP
 
  Keselamatan Kewangan Pemakanan Kerjaya Kesihatan Teknologi Keluarga  

Halaman Pengguna
   
 
Kewangan » Skim Amanah Saham
   
 

Apakah Amanah Saham?

Dana amanah saham adalah satu skim pelaburan yang mengumpul wang daripada ramai pelabur yang mempunyai objektif kewangan yang sama. Dana ini diuruskan oleh sekumpulan pengurus profesional yang melaburkan wang terkumpul itu dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan, semata-mata untuk mencapai objektif dana. Pendapatan dana itu pula diperoleh daripada pelaburan sama ada dalam bentuk dividen, faedah dan keuntungan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan sebagai dividen kepada semua pemegang unit, mengikut pegangan unit masingmasing.

Amanah saham menawarkan kepada para pelabur satu kaedah pelaburan sekuriti yang lebih mudah, selesa serta menjimatkan masa, berbanding jika berurus niaga secara individu. Ia membolehkan pelabur runcit melabur dalam aset yang biasanya hanya terbuka kepada pelabur besar/syarikat, serta dapat menyertai pasaran sekuriti yang lebih luas berbanding jika melabur secara persendirian.

Portfolio yang pelbagai membolehkan pelabur kecil atau besar mengembangkan pelaburan, pada masa yang sama mengurangkan risiko sekiranya sebahagian pelaburan mengalami kejatuhan nilai. Ia juga meningkatkan peluang memperolehi saham yang baik pada harga yang baik. Para pelabur juga mendapat manfaat kerana pelaburan mereka diuruskan sepenuh masa oleh pengurusan profesional. Selain itu, pelaburan itu mudah tunai kerana para pelabur boleh menjual sebahagian atau kesemua pelaburan mereka pada bila-bila masa.

Bagaimana Amanah Saham Beroperasi

Dana amanah saham diwujudkan melalui satu surat ikatan amanah, iaitu satu perjanjian antara syarikat pengurusan, pemegang amanah dan pelabur (yang dipanggil pemegang unit). Surat ikatan amanah itu menjelaskan pentadbiran kuasa dan tanggungjawab pelbagai pihak terbabit. Suruhanjaya Sekuriti (SC) diberi kuasa mendaftar surat ikatan amanah bagi sesuatu skim amanah saham.

Syarikat pengurusan ialah syarikat yang menguruskan dana. Ia mengendalikan urusan pemasaran dan pentadbiran dana tersebut dan biasanya turut mengendalikan pelaburan walaupun dalam sesetengah keadaan, pengurus pelaburan luar (biasanya sebuah syarikat pengurusan aset) dilantik untuk menguruskan sebahagian atau keseluruhan pelaburan.

Sebagai perlindungan, syarikat pengurusan tidak dibenarkan menyimpan aset dana, umpamanya sijil saham dan akaun bank. Pemegang amanah bertindak sebagai penjaga aset dan tanggungjawabnya yang utama ialah menjaga kepentingan para pemegang unit. Untuk melabur dalam dana amanah saham, pelabur membeli unit daripada syarikat pengurusan pada harga jualan semasa yang dikira setiap hari dan biasanya disiarkan di akhbar utama. Unit ini boleh dibeli pada bila-bila masa, asalkan dana itu belum mencapai had maksimum yang diluluskan.

Pemegang unit boleh menjual kembali unit-unit mereka kepada syarikat pengurusan pada harga belian semasa (bagaimanapun, dalam keadaan yang jarang berlaku, kewajipan dana untuk membeli kembali unit boleh digantung). Keadaan ini dijelaskan dalam prospektus dana. Ciri belian balik inilah yang menyebabkan amanah saham dipanggil “dana terbuka”. Syarikat pengurusan bukan sahaja menerbitkan unit baru kepada bakal pelabur, malahan dikehendaki membeli balik atau menebus unit daripada pelabur yang hendak melepaskan pelaburannya. Nilai dana atau harga yang perlu dibayar oleh pemegang unit atau jumlah yang akan diterima apabila unit itu dijual adalah berdasarkan kepada nilai bersih aset dana dicampur caj (jika ada). Penting diambil perhatian bahawa dalam kes di mana sebahagian besar dana dilaburkan dalam stok dan saham, prestasi dana akan dipengaruhi oleh prestasi pasaran stok. Kerana itu, harga jualan pemegang unit mungkin tinggi atau rendah bergantung kepada prestasi pasaran stok ketika unit itu dibeli.

 


   
 
Direktori `Kewangan`
 
1. Pemilihan Polisi Insurans
2. Tips Pelaburan
3. Pinjaman dan Kredit
4. Pajak Gadai
5. Skim Amanah Saham
6. Bursa Saham
7. Pinjaman Pendidikan
8. Panduan Sewa-Beli
9. Pelan Kewangan Hari Tua

Web site and all contents © Copyright 2005 - 2007, All rights reserved.
Disclaimer
Compatible for Internet Explorer 6 above and Mozilla browser.
This website is belong to Smartgeneration and KPDNHEP [ Go to top ]