Aduan kepada KPDNHEP
 
  Keselamatan Kewangan Pemakanan Kerjaya Kesihatan Teknologi Keluarga  

Halaman Pengguna
   
 
Keselamatan Produk » Produk Kesihatan
   
 
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) amat prihatin terhadap sikap Kementerian Kesihatan dalam menangani isu penarikan semula produk kesihatan dan makanan tambahan yang dikeluarkan oleh syarikat Pan Pharmaceutical, Australia. FOMCA amat berasa kesal kerana pengguna di Malaysia tidak diberikan maklumat yang secukupnya terhadap keseluruhan isu tersebut.
Walaupun pengguna telah dimaklumkan bahawa mereka akan mendapat semula wang atau digantikan dengan produk yang lain, namun tidak terdapat satu garis panduan yang jelas tentang cara ia dilakukan. Ini kerana setiap syarikat mempunyai dasarnya tersendiri dalam hal mengembalikan semula wang. Adakah ini bermaksud bahawa setiap produk yang telah dibeli itu layak untuk mendapat bayaran balik? Bagaimana pula dengan produk yang telah dibuka penutupnya atau telah digunakan sebahagiannya? Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan keadaan ini, iaitu orang ramai boleh dan sepatutnya diberikan pampasan daripada kedai, tempat mereka membeli barangan tersebut, tanpa perlu bersusah payah ke sana ke mari untuk mendapatkan hak mereka.
Dalam hal ini, isu yang paling utama ialah mengapa Kementerian Kesihatan tidak menubuhkan atau sekurang-kurangnya mewujudkan badan penasihat bagi menghuraikan akibat yang akan dialami oleh pengguna sekiranya menggunakan produk yang telah ditarik balik itu. Mengapa tidak ada sebarang makluman tentang kesan sampingan dan tanda-tanda yang mungkin wujud daripada penggunaan vitamin dan makanan tambahan ini. Kami merasakan inilah keutamaan yang perlu diambil oleh pihak Kementerian. Adalah amat dikesali kerana Kementerian Kesihatan nampaknya tidak begitu mempedulikan kebajikan pengguna, sama ada dalam bentuk masalah ekonomi mahupun masalah kesihatan pengguna.
Jelaslah di sini bahawa pihak Kementerian Kesihatan mempunyai masalah kekurangan sistem kawal selia dalam hal ini. Syarikat Pan Pharmaceutical, yang merupakan syarikat pengeluar ubat utama di Australia, telah disiasat sejak awal bulan Januari tahun ini. Sebagaimana yang disiarkan dalam kenyataan akhbar, kerajaan telah menarik balik semula produk yang dikeluarkan pada 1 Mei 2002 dan jika hal ini berlaku, sepatutnya pihak kerajaan telah mengambil langkah berwaspada dan memaklumkan kepada orang ramai. Malah langkah untuk menyebarkan maklumat tentang isu ini begitu berkurangan sekali.
Kami juga mempertikaikan sikap Kementerian yang tidak melakukan pemeriksaan secara rawak bagi mengenal pasti keberkesanan ubat-ubat yang dijual di negara ini. Pihak berkuasa nampaknya menerima secara bulat-bulat surat pengesahan ubat-ubat ini tanpa mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan sendiri. Pihak kami ingin menegaskan bahawa hal ini tidak boleh diterima sama sekali. Kementerian Kesihatan perlu telus dalam hal ini.
Adalah tidak wajar sekiranya pengguna menjadi mangsa keadaan yang bukan di bawah kawalan mereka. Dalam dunia hari ini, ketepatan maklumat amatlah penting dan adalah tidak boleh diterima sekiranya pihak berkuasa di Malaysia tidak mampu untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai secara berkesan. Kita perlu ingat bahawa kehidupan asas manusia adalah bergantung kepada perihal kesihatan ini. Isu kesihatan dan keselamatan para pengguna bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.
Kami berharap akan mendapatkan perjelasan lanjut terhadap isu ini bagi membolehkan kamu menyediakan maklumat yang tepat kepada para pengguna dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani sebarang akibat daripada keseluruhan isu ini. Kami amat berharap para pengguna yang mengalami kesan buruk akibat penggunaan ubat-ubatan yang telah ditarik balik ini agar tampil dan menghubungi FOMCA bagi membantu mereka mendapatkan gantirugi dari segi undang-undang.

   
 
Direktori `Keselamatan Produk`
 
1. Barangan Keperluan Harian
2. Kelengkapan Elektrik
3. Peralatan Telekomunikasi
4. Alat Mainan
5. Produk Kesihatan
6. Barangan Kecantikan
7. Racun Serangga/Makhluk Perosak
8. Kenderaan Bermotor
9. Product Recalls
10. Kawalan Ulat-ulat dalam makanan
11. Bomba

Web site and all contents © Copyright 2005 - 2007, All rights reserved.
Disclaimer
Compatible for Internet Explorer 6 above and Mozilla browser.
This website is belong to Smartgeneration and KPDNHEP [ Go to top ]